Assalamualaikum pembuka bicara,
Semoga semua sejahtera sentiasa.
Hai semua para pembaca sekalian. Hari ni datang pula rasa aku untuk menulis satu entri yang mana telah lama aku nak cerita dan untuk kita sama-sama renungkan. Sepertimana setiap insan di atas muka bumi ini, pastinya ada sebuah cerita yang empunya diri sahaja yang tahu akan jalan ceritanya. Percayalah, ceritalah berjuta kali pun pada rakan anda, ianya pasti tidak akan sama seperti 'cerita' yang dialami oleh si pencerita.
Dalam kehidupan ini penuh dengan liku-liku dan cabaran yang perlu kita tempuh, akan tetapi pastinya ada nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh sang pencipta kita. Ada segelintir yang sentiasa beringat dengan apa yang dikurniakan padanya. Ada juga yang alpa dengan nikmat yang diberikan malahan ada juga yang tidak bersyukur. Ruginya, malangnya pada mereka yang berada dalam kelompok ini. Percayalah, benda yang kecil pun boleh menjadi besar. Mengapa? Sebab kita ambil mudah dan tidak leka dengan segala benda yang dunia campakkan kepada kita.
Nikmat ada pelbagai. Ada nikmat masa, keluarga, dan sebagainya. Tapi kita manusia sentiasa alpa dengan sekeliling kita dan juga dengan peredaran masa yang tidak sama sekali menunggu sesiapa pun. Ada benda dalam hidup kita yang mana nampak kecil pada diri sendiri. Perkara-perkara boleh menjadi satu benda yang amat besar dalam hidup kita pada satu ketika nanti. Bila agaknya? Saya pasti kalian semua pasti tahu pada waktu mana yang saya maksudkan. Ya, bila kita telah kehilangannya.
Percayalah, manusia ini tidak pernah akan menyesal dengan benda yang dimiliki sehinggakan mereka kehilangannya. Pada waktu ketika inilah mereka akan menyesal tidak berlagu. Ketika inilah apa pun yang mereka lakukan, tidak mampu mengubah apa-apa. Seperti contoh, kita dikurniakan sebuah keluarga yang sihat, terdiri daripada ibu dan ayah kita. Saya mengambil contoh ini kerana kehilangan mereka berdua merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Kehilangan mereka pasti akan dirasai, dan di sesali jikalau orang itu tidak berbakti kepada mereka sehingga kedua ibu bapa mereka dijemput ajal.
Contoh yang lain juga adalah nikmat persahabatan. Saya percaya persahabatan tidak lahir dengan hanya satu hari sahaja. Ia mengambil masa yang lama untuk membentuk dan mengeratkan silaturahim antara manusia. Kita bertemu dengan pelbagai manusia yang penuh ragam dalam hidup kita. Pertemuan itu bukanlah tidak disengajakan, walhal ianya adalah ketentuan Allah S.W.T. Persepsi sebegini akan membuat kita lebih menghargai kawan kita itu sendiri. Inilah yang perlu diterapkan dalam setiap insan yang mempunyai kawan.
Saya ada situasi untuk renungan bersama. Pernah atau tidak rakan anda meninggalkan anda kerana teman lelaki/wanita? Pastinya ada. Saya percaya bagi mereka yang mempunyai pengalaman pasti telah melihat perubahan watak dan perwatakan mereka. Kenapa mereka senang-senang lupakan perkenalan selama bertahun-tahun hanya kerana perkenalan yang tidak sampai sebulan dua? Berdasarkan pengamatan saya, mereka yang mengambil tindakan sebegitu adalah kerana, mereka tidak pernah merasai cinta. Cinta adalah satu perasaan yang kuat. Ia boleh membuat seseorang itu hilang pertimbangan. Tidak dinafikan persahabatan ditinggalkan kerana cinta. Jika benar itu adalah cinta sejati, maka pengorbanan harus di laksanakan dan sudah pastinya tiada jiwa yang terasa. Tapi jika cinta itu hanyalah mainan, maka rugilah insan tersebut, hilang nikmat cinta dan juga persahabatan. Pasti empunya diri akan merana. Percayalah, akhirnya mereka akan kembali pada rakan-rakan yang dahulunya ada bersama dia dikala waktu susah dan juga senang.
Pada mulanya saya melihat situasi ini sebagai satu kebiasaan. Tiada apa-apa yang perlu diambil kisah jika perkara sebegini berlaku. Akan tetapi, pabila masa mematangkan kita, saya melihat situasi merupakan satu benda yang besar dan perlu diambil perhatian. Kenapa? Kerana, jika persahabatan itu ikhlas, tiada apa-apa niat disebaliknya, pasti akan timbul rasa sayang dalam persahabatan itu. Kenapa? Sebab disamping keluarga, rakan adalah insan yang paling dekat dengan kita.
Disini izinkan saya untuk memberi peringatan untuk diri sendiri dan juga para pembaca sekalian. Bukan saya ingin mengguris hati para pembaca, artikel ini adalah sekadar renungan bersama. Agar kita tidak tergolong dengan golongan yang alpa. Sekian buat masa ini. Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment